BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 30 Mac 2011

~Hatiku Milik-Nya~



Jemari kemas menggengam pena,
Melakar karya cinta pada-Nya,
Fikiran lemas tipuan buana,
Inilah puisi hatiku milik-Nya.

Hati tunduk mengabdikan diri,
Jiwa teguh ujian ilahi,
Tarbiah nafsu didik peribadi,
Insan soleh tetamu syurgawi.

Mata melirik semesta duniawi,
Telinga mendengar zikir yang suci,
Akal mentafsir yang tersurat,
Naluri menyingkap yang tersirat.

Susuri jalan yang satu,
Redahi ujian dalam rahmat-Nya,
Semakin berpadu cahaya kasih-Nya,
Benarlah kini, hatiku milik-Nya.

Mencari cinta ku temui noktah,
Mencari rindu ku temui sendu,
Mencari kasih ku temui sedih,
Mencari gembira ku temui lara.

Kian tercipta denai cinta,
Bisa terlukis hamparan rindu,
Moga terlakar gelombang kasih,
Agar terpahat lukisan gembira.

Pena ini terus bertinta,
Menanti ilham menukil kata,
Hatiku ini tetap milik-Nya,
Dari azali hingga akhir nyawa.

~Mencari Kerdipan Yang Hilang~



Kadangkala,
Kita terpaku mencari jawapan kehidupan,
Berlari dan terus berlari,
Mengharapkan penghujung yang sejati,
Tercungap-cungap mencari nafas ketenangan hakiki,
Lantas kita berhenti sebentar,
Refleksi diri yang kian gentar,
Bertanya semula kepada kalbu yg keletihan,
Apa yang engkau lari-larikan?
Apabila hakikatnya,
Kebahagiaanmu tersuluh di depan mata,
Kemuliaanmu terpancar hatta di celah-celah kota,
Walau dunia penuh pancaroba,
Dirimu sentiasa menanti masa,
Mencari, dan terus mencari.

...Kerdipan Yang Hilang...

Kilauan kerdipan mereka laksana bulan yang hadir pada malam hari, menerangi seluruh pelosok dunia dengan kecantikan budi pekerti dan akhlak yang terpuji.

Ketika Allah menciptakan mereka, kesemuanya harus menjadi seorang yang istimewa. Dikurniakan dengan bahu yang cukup kuat untuk menampung fatamorgana dunia. Namun, harus cukup lembut untuk memberikan ketenangan dan kebahagiaan.

Meskipun dilitupi dengan 'selendang islami' dan hijab kemuliaan, mereka dikurniakan Allah dengan kekuatan dalaman yang abadi, cukup kuat untuk melahirkan anak dan menahan mehnah tribulasi yang seringkali datang daripada anak itu..

Allah menguji mereka dengan kekerasan dan kesengsaraan agar dirinya tetap tabah ketika orang lain sudah menyerah. Mengasuh keluarganya meskipun ditemani dengan penat lelah yang tidak pernah henti walau sesaat.

Allah memberikan kefahaman dan sifat penyayang yang tinggi kepada mereka, demi menahan kerenah anak-anak yang sering menyakitkan hati mereka, tetapi tetap jua anak itu disayangi tanpa kurang walaupun sedikit.

Allah memberinya kekuatan untuk 'mendukung' suaminya yang dilanda kegagalan dan kesusahan. Melengkapi 'tulang rusuk' kebahagiaan yang selama ini dicari.

Dikurniakan air mata untuk dititiskan. Namun, ramai yang tidak tahu, titisan-titisan itulah yang telah banyak melahirkan 'lautan ibrah' yang luas terbentang buat tatapan sanubari.

Itulah mereka. Insan-insan yang bergelar WANITA.

Kalianlah pencorak masa hadapan dunia. Tidak ada insan selain Nabi Adam yang melihat dunia ini tanpa bermula daripada rahim seorang insan yang bergelar wanita. Keluarkanlah nama-nama yang tersemat di lubuk pemikiran kita, hebat ataupun tidak insan tersebut. Mereka semua melalui alam rahim yang sama seperti kita semua, diasuh dan dijaga dengan penuh kasih sayang. Daripada saat kita merangkak, berjalan sehinggalah mampu berlari, insan-insan ini tidak pernah meninggalkan kita.

Maka, adakah sesiapa yang berani merendah-rendahkan kaum ini ?

Ya. Kita yang bergelar ar-rijal (lelaki).

Mengakulah betapa kesengsaraan akan menimpa dirimu tanpa belaian kasih dan sayang daripada kaum yang bergelar wanita ini.

Mengakulah betapa hati-hatimu sentiasa teruji hatta hanya dengan mendengar bingkisan suara mereka yang penuh kelunakan.

Sedangkan Adam sunyi tanpa Hawa. Apakah agaknya yang tiada di Syurga ?

Masihkah kita tidak ingin mengaku kehebatan mereka yang bisa melentur peribadimu secara total?

Tetapi,

Mengapa golongan ini juga yang engkau permain-mainkan maruahnya?

Kenapa mereka juga yang engkau siul-siulkan di tengah jalan itu?

Kenapa srikandi-srikandi ini juga yang engkau rosakkan akhlak dan peribadinya?

Diri kita fitrahnya dilahirkan sebagai seorang pemimpin. Untuk membimbing kaum hawa ini satu obligasi, bukan ilusi.

Dirimu adalah Qowwamun (Pelindung) kepada wanita, bukannya perosak.

Mengajak mereka berdua-duaan di tempat gelap itu bukan 'melindungi' namanya.

Bicara manis dan romantis di telefon dan SMS itu pula hanyalah 'insuran' palsumu. Sedangkan sijil nikahmu dengannya pun belum ada, betapa beraninya dirimu mengatakan akan mendaki Gunung Everest dan merentas lautan api demi meraih cintanya.

Cinta? Itu sesuatu yang agak panjang untuk kita bincangkan.

Apa yang penting, cinta kepada insan itu terletak pada pembentukan Baitul Muslim mu. Bukan pada hubungan-hubungan palsu yang kita 'jaga' dan sanjungi itu.

Cinta itu juga Islam. Maka, keadaannya perlulah Islam, pengakhirannya perlulah Islam, bukannya disaluti dengan nafsu yang bergejolak.

Maka, bertanyalah semula kepada diri kita. Adakah kita sedang 'memimpin' cinta kita ke arah syurga? Ataupun ke arah neraka?

Duhai dikau yang bergelar srikandi.

Dirimu pada dasarnya dicipta dengan penuh kemuliaan. Dikurniakan dengan sesuatu yang mustahil dimiliki oleh ayah, adik, dan abangmu.

Ketahuilah betapa suara lunakmu bisa menggegarkan dunia.

Sedarilah betapa pandangan dan peribadimu melahirkan ibrah yang menggunung.

Dirimu begitu berharga sebagai penenang hati-hati yang sedang gundah gulana.

Dirimu lebih kuat daripada yang apa engkau sangkakan.

Sedangkan sebuah kerajaan pun boleh jatuh disebabkan seorang wanita. Apatah lagi untuk menghancur-luluhkan kehidupan seorang lelaki yang berpenyakit hatinya.

Engkau ibarat mawar yang berduri. Sentiasa berdiri menahan bayu cabaran yang mendatang. Hatta kumbang datang untuk membinasa, duri dahanmu tetap bersedia, tetap tidak pernah hilang harga diri, meski dipujuk dan dirayu oleh nafsu sendiri. Melainkan syariat yang memberi.

'Facebook' dan blog itu bukan tempat manifestasi kecantikan paras rupamu.

Nilai maruahmu begitu tinggi untuk ditayangkan kepada yang bukan hak.

Jangan! Jangan digadaikan untuk sesuatu yang tidak setaraf dengan nilai harga dirimu ya ukhti.

Kecantikanmu bukan pada paras rupa, tetapi lebih kepada akhlak dan peribadimu yang suci itu.

Seorang wanita solehah dalam kalangan kalian itu hakikatnya lebih baik daripada 70 orang lelaki soleh. Tidak hairanlah sekiranya dirimu mendapat pengiktirafan 'sebaik-baik perhiasan dunia, adalah wanita yang solehah'.

Wanita solehah itu,

Teguh menjunjung syariat Allah. Dia tidak akan pernah membiarkan dirinya menjadi busur panahan syaitan. Diperalatkan untuk mengumpan kaum Adam yang kadangkala terlalu gopoh dengan hawa nafsu masing-masing.

Wanita solehah itu,

Sentiasa tenang jiwa sanubarinya. Mengingati Allah di saat suka dan duka.

Ya. Hatta diuji dengan ujian yang boleh sahaja membuatkan insan lain tersungkur jatuh. Tetapi bukan engkau, kerana kelebihanmu terletak pada ketenangan dan kesucian hatimu di sisi Allah SWT.

Betapa tingginya darjatmu di sisi Islam.

Betapa mulianya kedudukanmu di sisi para suami yang mencintaimu kelak.

Maka, mengapa perlu berfikir dua kali apabila Allah arahkan untuk menutup aurat ya ukhti?

Mengapa perlu ditayangkan perhiasan-perhiasan yang tidak berhak dipandang oleh lelaki-lelaki ajnabi itu ya ukhti?

Bukannya kalian tidak tahu..hati ar-rijal (lelaki) itu mudah sahaja bergetar melihat diri kalian semua. Mencari kesempatan yang kini ada daripada kalian yang memberinya dengan mudah. Kemudian terlahirlah pelbagai kemaksiatan yang bertunjangkan kepada satu masalah keimanan kita kepada Allah SWT.

Pandangan Allah ataupun pandangan manusia. yang mana satukah agaknya prioriti utama yang kita jadikan sebagai pemandu tindak laku kita di dunia ini?

Wahai srikandi-srikandi syurga.

Bukanlah artis-artis dunia yang menjadi idola kalian.

Bukan juga yang terlari daripada landasan matlamat yang hakiki.

Kalian menjadi sayap kiri kepada kebangkitan Islam di dunia ini, bersama-sama berjuang dengan para Muslimin.

Sejarah mencatatkan banyak jejak-jejak srikandi yang begitu tabah lagi halus peribadinya. Mengapa bukan mereka yang menjadi contoh ikutan utama?

Sesetengah orang pernah berkata, sejarah itu ibarat pentas bermain wayang. Dibaca dan kemudian diulang, dan diulang, dan diulang. Berapa kali pengulangankah agaknya yang diperlukan oleh diri kita untuk menyedari kehebatan para mujahidah Islam dahulu kala?

Kesetiaan pengorbanan Siti Khadijah Binti Khuwailid hampir lupus dek zaman 'futuristik' muda-mudi.

Kebijaksanaan Aisyah Binti Abu Bakar seolah-olah sesuatu yang benar-benar luar biasa bagi kita semua.

Ketabahan Fatimah, Mashitah dan Siti Hajar pula nampaknya hanya dipelajari dengan titisan air mata. Kesayuan dan kesedihan yang selalu tidak mempunyai penyusulan.

Ya ukhti.

Sumayyah mengukir sejarah kerana kemantapan akidahnya kepada Allah SWT, meskipun pada saat itu Islam belum lagi melakar dua pertiga dunia. Tetapi kisah dirinya benar-benar membuatkan kita sebak.

Kita pula? Apa sejarah yang ingin kita lukiskan dalam kehidupan kita ini?

Kita tahu dan kita percaya. Tidak mustahil untuk kita membentuk semula peribadi insan-insan yang luar biasa ini. Cuma persoalannya, siapa?

Tidak kira yang lelaki mahupun wanita. Kita wajar mencontohi kehebatan mujahidah-mujahidah islam ini dengan mengambil ibrah daripada lembaran perjuangan mereka yang tidak pernah gentar menghadapi musuh, kerana diri merekalah contoh wanita solehah yang terbaik buat kita semua.

Merekalah...

Kerdipan yang hilang itu.

Ya Rijal dan Nissa.

Janganlah kita biarkan kerdipan itu pergi begitu sahaja. Carilah kilauannya yang terang itu. Kesemuanya sudah tersuluh, cuma menunggu masa untuk kita memakai 'kaca mata' iman dan Islam kita.

Marilah kita sama-sama menukar paradigma kita. Meletakkan sesuatu itu di landasan yang hakiki, lantas mampu membuat keputusan dengan minda yang mustanir (cemerlang). Insya Allah, suatu masa nanti, pasti kerdipan yang hilang itu akan kembali menerangi kegelapan dunia.

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan". (Ar-Rum 30:21)

Selasa, 29 Mac 2011

~Sakit....~


Luka itu sungguh sakit.
Uuntuk ku rasakan.
Tak seperti keinginan & harapan.
Yg ku mimpikan & harapkan.

Terlambat untuk ku sedari.
Hingga tiada penyesalan kini.
Saat cintaku telah yakin kau pergi.
Saat semua pengorbanan telah ku berikan kau pergi.

Kini bayangmu jd penghias lukaku.
Tiap janjimu jd pemanis perihku.
Kan ku cuba jalani dgn sendiri.
Walau tanpamu kini...

Khamis, 24 Mac 2011

~10 Petanda Dia Jodoh Kita~



Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :

1. Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang Bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima Kita Seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa Jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami Diri Kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan Kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata Hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

~Layakkah Kita Bergelar Saudara?~

"Umi!!!!" Khalid menjerit nyaring.

Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi... Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.

"Umi!!!" Khalid menjerit lagi.

Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di atas serpihan batu-bata,t erpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ... Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.

"Khalid.. Khalid anak umi..."

Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya. Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang...

"Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid macam abi..."

* * *

"Khalid... Mari cepat pergi ke masjid, sekejap lagi azan ni!"

Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar rumah. Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.

"Umi, Khalid pergi dulu..." ucapnya seraya melangkah pergi...

"Abi, kenapa kita kena solat di masjid?. Umi tak pergi masjid pun abi..." Khalid bertanya. Matanya yang bening memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi.

Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.

"Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat di masjid. Umi tak apa solat di rumah. Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul di masjid, orang kafir pun akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu, kita akankuat kan sayang?" Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.

"Tapi abi...."

"Kenapa Khalid?"

"Kenapa dulu masjid kosong saja, sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?" Penuh ketulusan suara itu bertanya.

Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.

"Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi.. Tiba-tiba satu hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa bermaknanya kesenangan yang lalu kan?"

Angguk.

"Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat... Tapi manusia tak mahu bersyukur malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni, bila dah susah baru semua tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu sia-sia."

"Abi, Khalid tak mahu lawan cakap Allah!" Khalid bersemangat.

"Ya sayang, Khalid kena jadi macam Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam mempertahankan agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah". Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil itu. Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.

"Macam abang-abang?" Khalid bertanya lagi.

Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar mujahid fi sabilillah!

"Abi....."

Khalid mula menyorok di belakang Salman Al-Farisi.

Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap, melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di sisi yang ketakutan.

Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa ini...

Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta...

* * *

Pom! Pom!

Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid.

Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta... Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada' yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...

"Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Khalid meraung. Wajah insan yang amat disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.

"Abi... Kenapa tinggalkan Khalid..."

Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di situ...

* * *

"Umi..." Khalid bersuara dalam sendunya yang masih berbaki.

Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.

"Ya sayang.." Tangan yang mampu menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.

"Kenapa negara Islam yang lain tak bantu kita?"

Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan, melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.

"Mereka bantu sayang, mereka beri duit, makanan.."

"Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!"

Nur Laili tersentak sekali lagi.

"Umi..." Perlahan, Khalid memanggil.

"Ya sayang..."

"Adakah mereka mendoakan kita?".

"Siapa?"

"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"

Nur Laili terdiam. Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya bergelora.

Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang???.

"Umi..."

Khalid memanggil lagi.

"Ya..."

"Tidak malukah mereka apabila ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?".

"Siapa?"

"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"

Diam.

"Umi.."

"Ya nak.."

"Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?". Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.

"Siapa?"

"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"

Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu. Mata Nur Laili mula digenangi air...

"Umi tidak tahu sayang..."

''Oh Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara???''.

"Umi..."

"Ya sayang..."

Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat dirinya...

"Umi... Abi pernah kata kalau perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita. Betulkah umi?"

"Ya sayang.."

"Jadi mengapa kita digelar pengganas umi?"

Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa?. Itu semua dia tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas?. Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini...

"Kenapa umi menangis?"

Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu..

"Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa memberi bantuan, kan umi?".

Angguk.

Pom!!!.

Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur Laili... Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis.. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.

"Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam Khalid..."

Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..

"Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid. Allahu akbar!!" Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran lagi, tepat menembusi kepala Khali. Khalid rebah di samping uminya...

"Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang nanti..."

Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya....

~Ucapan Salam Di Syurga~

(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan. (Surah An-Nahl ayat 32)

Sejarah SALAM

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Adam (AS) selesai diciptakan, Allah (SWT) menyuruh Nabi Adam (AS) bertemu dengan segolongan malaikat yang sedang duduk dan memberi salam kepada mereka."Dengarkanlah, jawapan salam mereka kepadamu, sesungguhnya itu adalah sebagai penghormatan bagimu dan bagi keturunanmu", Allah (SWT) berfirman kepada Nabi Adam (AS). Maka Nabi Adam (AS) pun menghampiri para malaikat itu dan mengucapkan salam yang diajarkan Allah keapda baginda iaitu: "Assalamu 'alaikum".

"Waalaikumus salam warahmatullah", jawab para malaikat.

(HR. Bukhari - Muslim).

Prinsip-Prinsip Dalam Lafaz Salam

1. Mengingati Allah (SWT).

2. Peringatan kepada diri sendiri untuk menjaga kesejahteraan.

3. Ungkapan dan penyebaran kasih sayang antara sesama umat Islam.

4. Doa yang istimewa.

5. Janji dan pengakuan bahawa 'anda aman dari bahaya tangan dan lidahku' kepada orang yang diucapkan salam.

Protokol Ucapan Salam

Protokol (adab) dalam mengucapkan salam adalah seperti berikut:

- Orang yang berkenderaan mendahului memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.

- Orang yang berjalan kaki mendahului memberi salam kepada orang yang duduk.

- Kelompok yang sedikit mendahului memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.

- Orang yang hendak meninggalkan sesuatu tempat memberi salam kepada orang yang tinggal.

- Semasa keluar rumah dan juga semasa pulang ke rumah, ucapkanlah salam walaupun tidak ada orang di rumah

- Jika bertemu berulang-ulang maka ucapkan salam setiap kali bertemu.

- Orang yang hendak berucap mengucapkan salam kepada orang yang mendengar (di depannya)

- Orang yang lebih muda mendahului mengucapkan salam kepada orang yang lebih tua.

- Orang yang baru sampai mengucapkan salam kepada orang yang telah dahulu berada di satu-satu tempat.

SALAM: Ucapan Penghuni Syurga

UCAPAN atau perkataan yang digunakan oleh para penghuni syurga adalah ucapan salam atau ucapan keselamatan dan kata-kata yang baik kerana kebahagiaan mereka dapat memasuki syurga. Tiada perkataan melukakan perasaan atau ucapan yang sia-sia dan keji. Semua ucapan penghuni syurga adalah ucapan kesejahteraan, kasih sayang dan kebahagiaan.

"Mereka (para penghuni syurga) tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia yang menyebabkan dosa, melainkan perkataan salam, selamat, sejahtera."(Surah Al-Waqi'ah : 25-26).

Dan para malaikatpun akan menyampaikan ucapan selamat kepada penghuni-penghuni syurga : "Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, dihalau ke dalam syurga dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai kepadanya, dibukalah pintu-pintunya dan berkata malaikat-malaikat penjaganya kepada mereka : Selamat untukmu, kamu telah suci, maka masuklah kamu kedalam syurga serta kekal (di dalamnya)." (Surah Az-Zumar: 73).

Sekiranya kita mengaharapkan dan mengimpikan kehidupan di syurga, maka budayakan ucapan salam dan perkataan yang baik-baik dalam kehidupan kita di dunia ini.

لَّا يَسۡمَعُونَ فِيہَا لَغۡوًا إِلَّا سَلَـٰمً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ رِزۡقُهُمۡ فِيہَا بُكۡرَةً۬ وَعَشِيًّ۬ا
""Mereka (para penghuni syurga) tidak mendengar perkataan yang sia-sia di dalamnya melainkan perkataan salam (perkataan yang baik), dan bagi mereka (pula) memperoleh rezeki di dalamnya pagi dan petang."(Surah Mariam Ayat ke 62)

Ahad, 20 Mac 2011

~Perang Di Zaman Nabi S.A.W [BAB 2]~

sambungan dari bab 1 tentang perang2 di zaman Nabi S.A.W...^_^

*PENAKLUKAN KOTA MEKAH/فتح المكة*
Fath al-Makkah terjadi di sekitar kota Mekah. Latar belakang peristiwa ini adalah adanya anggapan kaum Quraisy bahwa kekuatan kaum muslim telah hancur akibat kalah perang di Mu'tah. Kaum Quraisy beranggapan Perjanjian Hudaibiyah (6 H) tidak penting lagi, maka mereka mengingkarinya dan menyerang Bani Khuza'ah yang berada dibawa perlindungan kaum muslim. Nabi Muhammad SAW segera memerintahkan pasukan muslimin untuk menghukum kaum Quraisy. Pasukan muslimin tidak mendapat perlawanan yang berarti, kecuali dari kaum Quraisy yang dipimpin Ikrimah dan Safwan. Berhala di kota Mekah dihancurkan dan akhirnya banyak kaum Quraisy masuk Islam.

*PERANG HUNAIN(8 Safar 8 H)*
Perang Hunain berlangsung antara kaum muslim melawan kaum Quraisy yang terdiri dari Bani Hawazin, Bani Saqif, Bani Nasr dan Bani Jusyam. Perang ini terjadi di Lembah Hunain, sekitar 70 km dari Mekah. Perang Hunain merupakan balas dendam kaum Quraisy karena peristiwa Fath al-Makkah. Pada awalnya pasukan musuh berhasil mengacaubalaukan pasukan Islam sehingga banyak pasukan Islam yang gugur. Nabi SAW kemudian menyemangati pasukannya dan memimpin langsung peperangan. Pasukan muslim akhirnya dapat memenangkan pertempuran tersebut.

*PERANG TA'IF(8 H)*
Pasukan muslim mengejar sisa pasukan Quraisy, yang melarikan diri dari Hunain, sampai di kota Ta'if. Pasukan Quraisy bersembunyi dalam benteng kota yang kokoh sehingga pasukan muslimin tidak dapat menembus benteng. Nabi Muhammad SAW mengubah taktik perangnya dengan memblokade seluruh wilayah Ta'if. Pasukan muslimin kemudian membakar ladang anggur yang merupakan sumber daya alam utama penduduk Ta'if. Penduduk Ta'if pada akhirnya menyerah dan menyatakan bergabung dengan pasukan Islam.

*PERANG TABUK(9 H)*
Lokasi perang ini adalah kota Tabuk, perbatasan antara Semenanjung Arabia dan Syam (Suriah). Adanya peristiwa penaklukan kota Mekah membuat seluruh Semenanjung Arabia berada di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad SAW. Melihat kenyataan itu, Heraklius, penguasa Romawi Timur, menyusun pasukan besar untuk menyerang kaum muslim. Pasukan muslimin kemudian menyiapkan diri dengan menghimpun kekuatan yang besar karena pada masa itu banyak pahlawan Islam yang menyediakan diri untuk berperang bersama Nabi SAW. Pasukan Romawi mundur menarik diri setelah melihat besarnya jumlah pasukan Islam. Nabi SAW tidak melakukan pengejaran tetapi berkemah di Tabuk. Di sini Nabi SAW membuat perjanjian dengan penduduk setempat sehingga daerah perbatasan tersebut dapat dirangkul dalam barisan Islam.

*PERANG WIDAN(12 Rabiulawal 2 H)*
Perang ini terjadi di Widan, sebuah desa antara Mekah dan Madinah. Rasulullah SAW memimpin pasukan muslimin menghadang kafilah Quraisy. Pertempuran fisik tidak terjadi karena kafilah Quraisy lewat di daerah tersebut. Rasulullah SAW selanjutnya mengadakan perjanjian kerjasama dengan Bani Damrah yang tinggal di rute perdagangan kafilah Quraisy di Widan. Kesepakatan tersebut berisi kesanggupan Bani Damrah untuk membantu kaum muslim apabila dibutuhkan.

Jumaat, 18 Mac 2011

~Perang Di Zaman Nabi S.A.W [BAB 1]~

Assalamualaikum w.b.t...sedikit sebanyak ingin berkongsi tentang perang2 yg pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad S.A.W, kerana saya rasakan kita semakin lupa dgn sejarah2 yg pernah berlaku di zaman Nabi S.A.W. dahulu...jadi untuk perkongsian bersama..sudi2lah kiranya untuk membaca dan mengingati kembali pengorbanan Nabo S.A.W. dlm memperjuangkan agama Islam dari kekejaman musuh...semoga maklumat ini sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada kita semua,termasuklah diri saya sendiri..insyaAllah..amin..^_^

*PERANG BADAR(17 Ramadan 2 H)*
Perang Badar terjadi di Lembah Badar, 125 km selatan Madinah. Perang Badar merupakan puncak pertikaian antara kaum muslim Madinah dan musyrikin Quraisy Mekah. Peperangan ini disebabkan oleh tindakan pengusiran dan perampasan harta kaum muslim yang dilakukan oleh musyrikin Quraisy. Selanjutnya kaum Quraisy terus menerus berupaya menghancurkan kaum muslim agar perniagaan dan sesembahan mereka terjamin. Dalam peperangan ini kaum muslim memenangkan pertempuran dengan gemilang. Tiga tokoh Quraisy yang terlibat dalam Perang Badar adalah Utbah bin Rabi'ah, al-Walid dan Syaibah. Ketiganya tewas di tangan tokoh muslim seperti Ali bin Abi Thalib. Ubaidah bin Haris dan Hamzah bin Abdul Muthalib. adapun di pihak muslim Ubaidah bin Haris meninggal karena terluka.

*PERANG UHUD(Syaaban 3 H)*
Perang Uhud terjadi di Bukit Uhud. Perang Uhud dilatarbelakangi kekalahan kaum Quraisy pada Perang Badar sehingga timbul keinginan untuk membalas dendam kepada kaum muslim. Pasukan Quraisy yang dipimpin Khalid bin Walid mendapat bantuan dari kabilah Saqib, Tihamah, dan Kinanah. Nabi Muhammad SAW segera mengadakan musyawarah untuk mencari strategi perang yang tepat dalam menghadapi musuh. Kaum Quraisy akan disongsong di luar Madinah. Akan tetapi, Abdullah bin Ubay membelot dan membawa 300 orang Yahudi kembali pulang. Dengan membawa 700 orang yang tersisa, Nabi SAW melanjutkan perjalanan sampai ke Bukit Uhud. Perang Uhud dimulai dengan perang tanding yang dimenangkan tentara Islam tetapi kemenangan tersebut digagalkan oleh godaan harta, yakni prajurit Islam sibut memungut harta rampasan. Pasukan Khalid bin Walid memanfaatkan keadaan ini dan menyerang balik tentara Islam. Tentara Islam menjadi terjepit dan porak-poranda, sedangkan Nabi SAW sendiri terkena serangan musuh. Pasukan Quraisy kemudian mengakhiri pertempuran setelah mengira Nabi SAW terbunuh. Dalam perang ini, Hamzah bin Abdul Muthalib (paman Nabi SAW) meninggal terbunuh.

*PERANG KHANDAQ(Syawal 5 H)*
Lokasi Perang Khandaq adalah di sekitar kota Madinah bagian utara. Perang ini juga dikenal sebagai Perang Ahzab (Perang Gabungan). Perang Khandaq melibatkan kabilah Arab dan Yahudi yang tidak senang kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka bekerjasama melawan Nabi SAW. Di samping itu, orang Yahudi juga mencari dukungan kabilah Gatafan yang terdiri dari Qais Ailan, Bani Fazara, Asyja', Bani Sulaim, Bani Sa'ad dan Ka'ab bin Asad. Usaha pemimpin Yahudi, Huyay bin Akhtab, membuahkan hasil. Pasukannya berangkat ke Madinah untuk menyerang kaum muslim. Berita penyerangan itu didengar oleh Nabi Muhammad SAW. Kaum muslim segera menyiapkan strategi perang yang tepat untuk menghasapo pasukan musuh. Salman al-Farisi, sahabat Nabi SAW yang mempunyai banyak pengalaman tentang seluk beluk perang, mengusulkan untuk membangun sistem pertahanan parit (Khandaq). Ia menyarankan agar menggali parit di perbatasan kota Madinah, dengan demikian gerakan pasukman musuh akan terhambat oleh parit tersebut. Usaha ini ternyata berhasil menghambat pasukan musuh.

*PERANG KHAIBAR(7 H)*
Lokasi perang ini adalah di daerah Khaibar. Perang Khaibar merupakan perang untuk menaklukkan Yahudi. Masyarakat Yahudi Khaibar paling sering mengancam pihak Madinah melalui persekutuan Quraisy atau Gatafan. Pasukan muslimin yang dipimpin Nabi Muhammad SAW menyerang benteng pertahanan Yahudi di Khaibar. Pasukan muslim mengepung dan memutuskan aliran air ke benteng Yahudi. Taktik itu ternyata berhasil dan akhirnya pasukan muslim memenangkan pertempuran serta menguasai daerah Khaibar. Pihak Yahudi meminta Nabi SAW untuk tidak mengusir mereka dari Khaibar. Sebagai imbalannya, mereka berjanji tidak lagi memusuhi Madinah dan menyerahkan hasil panen kepada kaum muslim.

*PERANG MUT'AH(8 H)*
Perang ini terjadi kerana Haris al-Ghassani raja Hirah, menolak penyampaian wahyu dan ajakan masuk Islam yang dilakukan Nabi Muhammad SAW. Penolakan ini disampaikan dengan cara membunuh utusan Nabi SAW. Nabi SAW kemudian mengirimkan pasukan perang di bawah pimpinan Zaid bin Harisah. Perang ini dinamakan Perang Mu'tah karena terjadi di desa Mu'tah, bagian utara Semenanjung Arabia. Pihak pasukan muslim mendapat kesulitan menghadapi pasukan al-Ghassani yang dibantu pasukan Kekaisaran Romawi. Beberapa sahabat gugur dalam pertempuran tersebut, antara lain Zaid bin Harisah sendiri. Akhirnya Khalid bin Walid mengambil alih komando dan menarik pasukan muslim kembali ke Madinah. Kemampuan Khalin bin Walid menarik pasukan muslimin dari kepungan musuh membuat kagum masyarakat wilayah tersebut. Banyak kabilah Nejd, Sulaim, Asyja', Gatafan, Abs, Zubyan dan Fazara masuk Islam karena melihat keberhasilan dakwah Islam.

InsyaAllah..sambungan akan menyusul...:))

Isnin, 7 Mac 2011

~7 Sunnah untuk diamalkan setiap hari~

Hendaklah kita sentiasa menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari.

Ketujuh- tujuh sunnah Nabi Muhammad Rasulullah SAW itu adalah:

1. Tahajjud

Hal ini kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

2. Membaca Al-Quran sebelum terbit matahari

Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaik-baiknya

membaca Al-Quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

3. Jangan tinggalkan masjid

Masjid merupakan pusat keberkatan bukan kerana muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

4. Jaga solat dhuha

Kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

5. Jaga sedekah setiap hari

Allah menyukai orang yang suka bersedekah dan malaikat mendoakan untuk orang yang bersedekah pada setiap hari.

6. Jaga wuduk terus menerus

Allah menyayangi hamba yang berwudu’. Kata Khalifah Ali bin Abu Talib r.a, “Orang yang selalu berwudu’ senantiasa akan merasa solat walaupun ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh Malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia Ya Allah”.

7. Amalkan istighfar setiap saat

Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.

~Calon Menantu~ ^__^


Kuih serabai manisan betik

Dihidang juga pisang sesikat

Mengaji pandai rupa pun cantik

Lembut bahasa ramai terpikat

Khamis, 3 Mac 2011

~Aku Dikhitbah~



Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang gadis. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang hamba yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat ku memakai cincin di kedua tangan di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang..
"Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, dia tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput saya di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan dia yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila awak menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti awak akan tahu..."
Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput saya tau!"
Anis tersenyum megah.
"Kalau awak tak datang pun saya tak berkecil hati, doakan saya banyak-banyak!"
Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Jom makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Sila-sila, saya puasa."
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
"Wah, diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
.......................................
"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah, tenangnya..."
"Moga Allah memberkatinya...."Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."
Akhirnya, Anis bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Adani bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab...
"Dengan kematian wahai anakku.Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..."
Terduduk Anis mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum lembut...
"Ini nak, bukunya."
Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut la dia selalu menangis.. Anis tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Anis masih kaku. Tiada suara yang terlontar.

************************************
"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta."

** Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.**

~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~